Friday, August 31, 2012

MERDEKA!

Selepas menyambut Hari Raya kini umat Malaysia beraya lagi, iaitu  merayakan hari Kemerdekaan ke-55 Malaysia...Tahniah buat tanahair ini dan warga seisinya.

Seiko 'sawtooth' ini merupakan jam quartz terbaru dalam ternakan aku. Sedia maklum aku lebih mencintai enjin automatik berbanding quartz/solar/dsbnya, akan tetapi jauh disudut hati ku masih ada ruang untuk jam-jam berjantung bateri seperti ni.

Ciri yang aku utamakan pada jam quartz ialah: bentuk + berat! Ciri-ciri itu terdapat pada jam diver ini! 

Sawtooth mendapat nama dari bentuk gigi bezelnya ini, dan ia serupa dengan bezel MM600 springdrive.

Tak silap aku model mirip spesis 'tuna' ini masuk dipasaran 3 tahun sudah, kini ia semakin susut di pasaran dan sukar ditemui lagi.

Malah harganya lebih mahal dari Seiko monster (automatik)!

Sewaktu aku jumpai dikedai jam ni dah kehabisan bateri, bermakna lebih 3 tahun tersadai disitu...

Memandangkan model ini kini tersangat payah ditemui dimana-mana maka inilah saat untuk aku memilikinya. Kerana bagi aku ia bisa menambah keunikan pada koleksi sedia ada.

Kelebihan enjin quartz ialah ia lebih menepati masa, lasak dan mudah di selenggara. Kalau nak tahan puluhan tahun keluarkan aje baterinya, ada sesetengah kedai buat begitu.

Casing berskru yang boleh dilucutkan, ia berfungsi sebagai perisai bagi melindungi bezel dan komponen utamanya dari  anasir perosak.

Seolah-olah ia sebuah kubu besi yang membenteng jam dari segala bentuk serangan laut, darat dan udara...best!

Sangat kemas dan tak mengecewakan mata.

Cantik, malah sesuai diletak tengah meja sebagai hiasan kerana...

...jam yang cantik tak perlu lagi memaut tangan.

Kalau tak silap aku inilah 'sawtooth' yang dulu pernah disebut-sebut oleh otai bro Radzi (thetick-thetick.blogspot.com)... yang mana ketika itu aku tak pernah ambil tahu tentang kewujudan nama itu...

Monday, August 27, 2012

Sherpa, kuih raya dari seberang...

Setelah 2 hari beraya di Muar hari ke-3 aku sekeluarga berangkat pula ke Sungai Petani.

Hari  ke-5 aku beraya di restoran nasi kandar Nasmir  Sungai Petani tempat biasa aku dan kekawan sana sembang tentang jam berjam-jam, namun kali ini sedia menunggu disana seorang sahabat istimewa dari tanah seberang yang pernah aku berurusan dengannya dulu tapi tak pernah jumpa.

Ramah  orangnya, walaupun pertama kali bersua kami sembang macam dah jumpa selalu. Namun ole-ole yang dibawanya bukan model sebarangan.

Enicar Sherpa! Aku tak pernah jumpa sebelumnya...

 Segak dan tampan, tak jemu menatapnya.

Memang lawa, satu-satunya model gmt/world timer yang menjadi buruan para penternak.

...lama aku tenung Sherpa dah mula selesa belaian tangan ku ...

Sebelum mengakhiri pertemuan Sherpa memeluk erat tangan aku, seolah-olah tak mau ikut pulang... sob sob...

Kehadiran sahabat berserta Sherpa ini sangat bermakna buat aidilfitri kali ini, dah bertahun-tahun nama buruan ini aku dengar, tak disangka akhirnya aku dapat bersua dengan kondisi yang 100% masih original! 

Friday, August 17, 2012

SELAMAT PULANG KE DESA!

Selamat Hari Raya pada rakan-rakan semua, tiada kuih atau dodol nak aku hidangkan disini kecuali beberapa petua berkhsiat buat bekalan di ketika memandu nanti.

Bagi yang pulang ke desa dengan bermotosikal eloklah servis dulu motosikal tu. Pakai topi kaledar tu biar sangkut betul-betul. Juga jangan lupa bawa tiub dan perkakasan membaiki tayar (kalau tayar pakai tiub), kerana kerapkali ketika balik raya aku nampak banyak motorsikal pancit di lebuhraya, bukan sebiji dua tapi berpuluh! Pastinya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menabur paku!

Bagi yang berkereta pula pandulah dengan berhemah lagi bersopan santun, pandulah seolah-olah mendaki bukit dan bukan memecut seolah-olah menuruni bukit.

Sempena lebaran ini aku hidangkan santapan berkhsiat buat penternak sekalian... BALL SKINDIVER 300m!

Sekali pandang macam Seiko MM300! Ball memang terkenal dengan tiub H3! Semua modelnya diterangi pelita H3!

Sememangnya design klasik tak luput ditelan zaman. Silalah nikmati jamuan seterusnya...







Jenama yang diperkukuh oleh sejarah yang tersendiri.




Dan akhir sekali buat semua yang mengenali diri ini aku ucapkan SELAMAT HARI RAYA dan MAAF ZAHIR BATIN.

Wednesday, August 15, 2012

Kerlipan pelita malam tujuh lekor..

Malam tujuh lekor adalah 7 malam terakhir Ramadan. Malam itu dipasangkan pelita-pelita menerangi halaman rumah. Kata nenek aku pada malam tersebut dibebaskan roh-roh kaum keluarga bagi menemui keluarganya, maka sebab itu halaman rumah perlu diterangi dengan cahaya haha...

Penjelasan nenek itu mungkin sesuai buat kanak-kanak seperti aku, lalu malam itu kami nyalakan pelita sambil bermain bunga api.

Maka secara tak langsung penghujung ramadan itu menjadi lebih meriah dari sebelumnya bahkan siang dan malam berbagai aktiviti dibuat untuk menyambut raya, si bapa bersolat tarawih dan bertadarus manakala si ibu sibuk menjahit baju, langsir dan membakar kuih manakal budak-budak membantu atau bermain di laman dan sepekara yang mesti ialah mengecat rumah.

Penghujung malam tersebut juga bapak aku akan melaksanakan upacara tradisi iaitu menjenang (masak) DODOL! Dodol.... buruk bunyinya tapi sedap.

Malam terasa sepi tanpa mercun, mesti nak dengar juga TAM! TAM! TOM! Kalau mercun  habis inilah masanya aku guna garam. Campakkan aje ketul garam ke bara api, ia akan meletup berserta percikan bara api! Si Abu yang ajar haha...

Ini hah kawan aku si Abu, dia ni selalu pakai seluar koyak kelengkang maka selalu le kena gelak kekawan tapi selamba dia jawab "aaha...dosaaa, mati masuk neraka...", ishhh bengang tul aku.

Tapi dia suka berkawan, pagi-pagi lagi dia dah dok main sesorang tunggu kekawan bawah pokok rambutan, ada saja mainan yang dibuatnya.

Abu pandai buat pelita guna tin buangan, sumbunya dari kain buruk yang dipintal. Sepekara lagi dia suka hasut kawan-kawan yang puasa, "Udin, taik hidung kat lubang hidung ko!" acahnya, sebaik aje Udin korek hidungnya Abu gelak dan kata posanya dah batal, sebetulnya dia cemburu kat kekawan yang berpuasa sebab dia selalu tak puasa.

Gelembung-gelembung panas yang 'bersiul' terhasil di permukaan dodol, fenomena pelik yang dapat disaksikan setahun sekali haha....Dan diakhir bulan berkat ini aku ucapkan Selamat berpuasa semua rakan-rakan harulogi dengan doa semoga amal ibadah kita diberkatiNya.

Tuesday, August 7, 2012

BASIKAL GONDOL DAN AIR CINCAU...

Tahun 1970-an aku masih budak hingusan lagi, keluar rumah selalu berkaki ayam, tu sebab mak aku tak bela ayam, takut aku bawak taik ayam masuk rumah.

Sebetulnya aku tak suka berselipar sebab semua selipar kat rumah dah dirojakkan, sebelah lain sebelah lagi lain, sebelah beso sebelah kecik, maklum le masa tu selipar diguna sampai rabak, kalau putus disambung dengan kawat untuk dipakai lagi, dah putus 4 baru dibuang haha. Kekadang kat tangga rumah betabur selipar belah kiri aje.... selipar kanan jahanam dulu.

Setiap petang sebelum berbuka puasa bapak suruh aku ke kedai beli air batu (ais batu). Biasanya bersama adik aku ke kedai Ah Gong berboncengan dengan sebuah basikal tua (Basikal era British yang besar dari basikal biasa).

Tayar basikal gondol takde mud-guard, jadi kaum kerabat aku panggil BASIKAL GONDOL! Gondol tu sebutan orang jawa yang bermaksud BOTAK. (Taukah korang? Masa aku kecik dulu basikal perlu bayar lesen/cukai tau!)

Nak kayuh basikal gondol ni susah sikit kerana basikal tua buatan England ni besar, tinggi dan berat, palang basikal pun dah sama tinggi dengan jambul aku. Jadi sebelum kayuh adik aku kena tolong tolak laju-laju dulu, bila basikal dah gerak baru le aku masuk mengayuh dengan sebelah tangan berpaut pada palangnya dan sebelah lagi pegang batang handle, bila basikal dah jalan baru le adik aku lompat  belakang... serupa macam kapal terbang nak berlepas haha.
Tapi pernah kami terjunam ke parit kerana landasan tak cukup panjang...
  
"Tolak kuat-kuat la!" Apa lagi sambil terbongkok adik aku tolak basikal laju-laju, tak perasan parit depan rumah dah dekat, aku nak tahan dah tak sempat, brek kaki pun dah tak lekat,...perhabisnya semua terjun parit... lawaknya ketika basikal terjun parit tangan adik aku masih lekat kat carrier basikal haha.

Dulu ais batu dipotong dengan gergaji macam potong kayu, kumdian dibungkus dengan kertas. Masa bawa balik aku sempat jilat ais atas basikal hehe sejukk...(ketika balik giliran adik pulak membonceng aku haha...macam gambor atas tu)

Sebetulnya, bapak aku suka berbuka puasa dengan air cincau, ia menyejukkan badannya yang penat mengayuh beca. Hanya dalam bulan puasa kami diajar berbuka dengan air cincau kegemarannya tu.

Air cincau ni dia sediakan sendiri tanpa campur tangan mak, aku tengok dia ambik besin besar, kumdian bubuh air paip (dah dimasak la..), kumdian masukkan cincau dan gula pasir dan terakhir dia masukan bongkah ais pelan-pelan supaya air cincau dalam besin tak tumpah.

Satu pekara lagi ialah bapak aku tak membenarkan mana-mana pihak pecahkan bongkah ais tu! tujuannya supaya bongkah ais tahan lama. Jadi susah aku nak ceduk air cincau dengan bungkah ais duk tengah besin, sempit! Setiap kali nak kaut air cincau bungkah ais pun ikut terpusing, ...emmm kekadang bengang jugak aku. Sebaliknya bapak aku kata cara aku tu salah... Cara yang betul dia tunjuk ialah....

KUANG, KUANG, KUANGGGGG..
Angkat dan tuanggg...
aku tak le buat...berat beb!

Begitulah asam garam kehidupan kampung tahun 70-an. Dimana yang susah tak menjeritkan kelaparannya apatah lagi menyalahkan takdirNya meskipun takdir mereka itu ditangan insan-insan lain.

Thursday, August 2, 2012

HANTU RAYA DAH MASUK MALAYA!

MONSTER dah masuk Malaya! Akhirnya model yang ditunggu-tunggu ni masuk Malaysia setelah lama berlegar-legar di luar sana.

Tapi sayang, model ini masuk secara 'seludup', kerana tiada pengedar yang membawanya masuk secara rasmi. Bahkan kebanyakan kedai yang aku tanya tak tahu langsung kemunculan 'hantu raya' ni.

Datang dengan 5 versi, tapi yang dikirim kepada aku hanya 3 kerana ia lebih menampakan kelainan yang ketara berbanding monster lama.

Aku suka yang ni, 12 'taring' yang runcing kelihatan 'merah berdarah, mungkin baru lepas hisap darah mangsanya.

Hantu raya yang ni pun cun, muka bedak merah dengan bulu mata hitam melentik.

Yang ni serupa mambang tanah serupa hantu pasir yang selalu curi pasir. Yang ni pun lawa, kalau taruk tali oren mesti cun gila, mengilai-ngilai hantu betina histeria tengok.

Bezel serupa model lama 7S26.

Jarum suntikan pun sama.

Indek jam tajam-tajam semua.


Tiada perbezaan ketara pada body case.

Bezel yang kiri berkilat.

Aku suka ketiga-tiga spesis baru hantu raya ni.

Kalau dah hantu memang hantu, ini le rupa hantu yang korang tungu-tunggu tu...Ada seram?