Monday, August 29, 2011

"SELAMAT HARI RAYA DARI KAMI DIPERBATASAN!"

Pada era 70-an saki daki komunis masih bersembunyi di Sempadan Malaysia-Thailand. Maka dikala itu setiap parajurit mesti merasai pengalaman getir 'operasi dihutan' membenteras komunis di hutan sempadan. Diantara mereka ada yang terkorban, meninggalkan balu dan anak-anak yatim. Ada juga diantara mereka yang hilang anggota akibat periuk api. Banyak lagi kisah-kisah gigih dan sedih yang aku kutip dari pengalaman pakcik-pakcik dan jiran kampung yang pernah menyertai tentera dikala tu.

Memandangkan tahun 1970-an itu masih hampir dgn 'operasi dihutan' maka kami kanak-kanak kampung kerap menjiwai pengalaman mereka disetiap hujung ramadan dengan semangat yang serupa. Tiap-tiap malam main 'perang-perang'!...

Apapun ancaman komunis di hutan telah berlalu, dan generasi kini tak mendengar lagi berita-berita diperbatasan sebagaimana kami dulu. Kepada semua anggota keselamatan aku doakan selamat menjalankan tugas negara.

Kepada kawan-kawan yang sudi singgah sini, aku mohon maaf jika ada tulisan dan lukisan aku menyondol perasaan korang... dan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI untuk semua!

Friday, August 26, 2011

Kenangan raya 1970-an...

BUDAYA PERSEDIAAN RAYA!
Semakin hampir menjelang raya rumah di sekeliling desa mula bertukar warna. Rumah di cat, langsir dan sarung kusyen maupun sarung bantal di tukar baru. Aktiviti pembakaran tak terkawal kuih-kuih raya membuatkan ceruk desa merebak bau yang menyelerakan ...hadoiii bau kuih bahulu, peyek dan sempret yang mak bakar sangat menyegarkan suasana. Sehari sebelum raya bapak aku akan buat mini kemah untuk masak dodol... 8-10jam masak!


Di pekan pula sesak orang ramai membeli baju, songkok dan kasut baru. Setiap raya emak ke bazar membeli keperluan itu dan aku berserta adik beradik akan dibawa sama untuk memilih sendiri tanpa campur tangan asing. Bestnya ketika membeli aku tengok emak petah berbalas serangan dengan apek ketika tawar-menawar harga, apa saja cakap apek dipatah-patahkan sampai apek terus bungkus barang tanda kalah haha, sebab tu bila nak membeli sesuatu aku mintak emak ikut sama, bila mak letak harga apek tak berani cakap banyak terus bungkus aje haha.

 Budaya lama menyambut hariraya itu semua membuatkan Aildiftri memberikan makna yang meriah bagi anak-anak ketika itu dan aku rasa elok diteruskan, tanpa budaya itu mungkin anak-anak yang belum mengetahui hikmat bulan ramadan tak teruja kedatangan Ramadan/Shawal dilain tahun.

MERCUN TARIK!
Selain baju dan kuih persedian utama beraya adalah mercun. Ketika itu tak sah raya tanpa bunyi mercun dan meriam. Salah satu mercun yang popular dikala itu ialah mercun tarik, murah dan tersangat mudah diledakkan. Letupannya memang dahsyat, boleh buat mak aji/pak aji mengucap semula kalimah syahadah. Cara nak meletupkannya tengok peta di bawah...

Serupa macam tarik teh tarik, pegang dua hujung benang mercun dengan dua tangan, nak lebih berdesing telinga pendekkan jarak mercun dgn jarak tangan dengan lilit lebih sikit benangnya dijari. Kalau baru keluar sepital dengan jari tangan berbungkus boleh tarik guna jari kaki pulak.

Cara selamat angkat kedua tangan atas kepala kemudian tarik dengan pantas...KABOOMMM!! Ok sekarang nampak dah kegunaannya? hehe...

 ...maka itu mercun ini menjadi ancaman utama mak/pak aji yang pulang dari masjid selepas selesai solat tarawih. Kawan-kawan aku Seman, Ayob dan Gepeng menjadikannya sebagai jerangkap samar. Mereka ikat mercun itu pada lidi-lidi basikal atau direntang tengah lorong gelap laluan mangsanya. Time balik solat tarawih berdentam dentum bunyi jerangkap mengena.. 

Pintu bilik juga menjadi tempat sasaran, tapi pintu jamban lebih senang mengena malah lebih dahsyat letupannya kerana biasanya simangsa masuk secara meluru tanpa pikir-pikir lain lagi hehe.

KEPADA KAWAN-KAWAN SEMUA, SELAMAT HARI RAYA!!!

NAH! RASAKAN KO!!!


Tuesday, August 23, 2011

GX-56... IMPAK SAIZ!

Casio GX-56 yang lahir dipasaran awal tahun ni memiliki rekabentuk yang biasa-biasa aje namun berbeza sangat pada saiznya! Memberi impak pada tangan yang memakainya. Amat menonjol dan menjojolkan mata-mata sekelilingnya.

Sejak awal kemunculnya dah banyak kali aku pegang dan belek. Bila rasa serba tak kena kat tangan aku tanya apek kedai "Ini jam pakai kat mana?".. "Pakai tangan la!" jumping smash apek haha.. lama belek tapi aku tak jadi bawak balik kerana besaq gedabak berbanding pergelangan tangan aku yang slim. Perasaan 'mau tapi malu'.

Saiz XXL memang puas mata! menampakkan kegagahan. Shock resist, mud resist, protection, tough solar antara kalimat-kalimat kebal yang tertera sekeliling jam.

A.EL sangat membantu melihat skrin jam pada malam apatah lagi ketika memandu, hanya kalihkan tangan skrin jam akan terang menyala secara ajaib. Jangan risau soal bateri kerana sistem elektronik 'tough solar'nya membantu bateri sentiasa penuh selagi wujud matahari.

Butang tekan pun besar! kalau jari tangan terbakar mercun boleh tekan dengan ibu jari kaki... err tapi tekan dengan kepala lutut aku belum cuba, tapi kalau butang sebesar ni  mustahil tak boleh...

Kenapa bahagian butang mode/adjust ni melengkung?..

...ooo supaya jari tak tergelincir bila menekannya.

Menggunakan skru untuk mengikat bucklenya yang sangat besar juga.

Apakah jam saiz XL sesuai untuk tangan kecik? Mungkin ada pendapat yang berbeza ikut keselesaan. Memang pada awalnya aku segan nak pakai depan kaum sekeliling kerana kelihatan 'longgar'. Lama aku fikirkan cara yang sesuai agar ia tidak ketara kelihatan longgar ditangan. Akhirnya masalah itu dapat aku selesaikan, caranya jangan ikat strap ketat ditangan, elok biarkan ia agak longgar seumpama kita memakai gelang iaitu MELABUHkan ditangan (tak terlalu mengikat dan tak pula terlalu longgar), itu cara yang lebih selesa...memang ngam.  

Bonjol-bonjol sekeliling adalah perisai bagi menghalang segala asakan dan serangan peribodi. Ringkas, mudah. lasak dan suka digasak...

...cuma harganya yang buat kita sayang nak buat jam belasahan... kalau calar tangan mungkin korang boleh tahan, tapi kalau calar jam rega RM499 (tag price) ni berderai air mata beb...

Kepada pengembara malam ramadan "Carilah lailatulqadr itu pada 10 malam terakhir dari malam-malam yang ganjil" Itulah pesanan turun-temurun ribuan tahun yang masih terang hingga kini.

Saturday, August 20, 2011

MENIKMATI IBADAH PUASA?... (Bersama JUNKERS 150 JAHRE Limited edition)

Kenapa nikmat berpuasa hanya dirasai ketika berbuka sahaja? Bukankah sepatutnya nikmat berpuasa itu dirasai ketika kita berpuasa iaitu ketika berlapar darhaga? dan bukan dialami di kala menjamu makan dikala berbuka sahaja.

Sehari sebelum berpuasa aku 'dimalukan' oleh seorang anak tetangga berusia 6 tahun. Ketika aku berdiri menunggu lif dilobi pangsapuri aku terdengar anak itu bertanya kepada bibiknya (pembantu rumah) "Bila mula puasa?". Jawab bibiknya "Esok dah mula puasa". Lalu anak itu menyahut "Yahuuu!.. esok puasa" dengan gembira!... Dalam senyap aku terasa malu sendirian, bukan malau pada anak itu, tapi malu diri padaNya.

Lalu dilubuk hati empunya diri ini bertanya "Benarkah kamu seronok ketika berpuasa? Atau sebenarnya kamu lebih seronok ketika berbuka?"
Soalnya lagi "Apakah kamu nikmati kelazatan berpuasa sebagaimana kamu menikmati kelazatan berbuka?"
Soalnya lagi "Kalau tiada itu maka apa bezanya puasa kamu dengan puasa anak-anak kamu?..." Begitulah nasib...

Si tampan ini hampir-hampir menjadi teman takbir raya aku...

Berharga RM2,649 (sebelum diskaun), namun atas alasan yang hanya Dia saja yang maha ketahui aku nafkahkan itu untuk seketul jam nostalgia.

Memiliki ciri-ciri jam yang aku minat, tapi tidak cukup kuat untuk meracuni keinginan aku membawanya pulang.

Semoga Ramadan tahun ini menambahkan darjat dan tinggi martabat ibadah kita dan mencapai ketinggian hikmah didalamnya...aminn

Friday, August 19, 2011

Aii... naik basikal pakai helmet?

... jalan kaki pakai helmet? Nak tidur pakai helmet? Nak semayang pun pakai helmet?...ishh

Inilah rupa SEIKO HELMET... 'Puak radikal' jam-jam NOS (NOStalgia yek..). Tengok aje bentuknya... sampaikan aku rasa suatu kelainan bila lekat tangan.
Casing 'bertangan' memeluk pergelangan dengan erat (RM550). Nak tengok muka dial sila tengok ruang sebelah >>>

Wednesday, August 17, 2011

Mercun roket!

Macam peluru pemandu jarak jauh serta kuat letupannya. Istimewanya setiap kali dilancarkan ia akan bersiul sebelum meletup KAPOMMM! diudara. Dua kali ganda lebih power dari mercun lidi.

Sekali pelancaran menelan kos RM1.00-RM1.20! kira mahal ketika tu! Sebab itulah aku tak membazir dengan meletupkannya ditempat-tempat yang tak bermunafa'at. 

Biasanya mercun diletupkan selepas berbuka puasa kerana pancaran api dan bunyi lebih jelas berbanding siang. Nak merasa suasana perang maka ada kawan-kawan aku guna buluh sebagai pelancar. Cara ini lebih menepati sasaran katanya. Memang real, magrib hingga isyak waktu mereka bermandi peluh bermain seperti disiang hari!

Main perang-perang, bergerak tertunduk-tunduk dicelah semak ala-gorila. Mercun disasar ke rumah jiran berhampiran, masing-masing berbalas tembakan. Namun begitu atas faktor-faktor yang tak dijangka maka ada juga yang tersasar...

Tragedi hitam yang berlaku pada waktu maghrib 1978 membuktikan bahaya mercun roket.
...dari jauh aku nampak mercun meluru terkena dahan pokok getah dan menjunam ke satu rimbunan semak belakang rumah Wak Leman...KAPPPOMMM!

Tiba-tiba muncul Wak Leman terlompat disebalik semak tu. Tunggu apa lagi, kami cabut lari tak sempat nak dengar sumpah laknatnya yang berjela-lela kerana terkejut.  

Menurut sumber risikan roket meledak hanya beberapa depa dari lubang tempat Wak Leman 'mencangkung'. Maklumlah, time tu jarang ada tandas sempurna seperti hari ini, bahkan kalau adapun tandas dibina jauh di belakang rumah kerana beranggapan tak sopan bina tandas dalam rumah. Sesetengah penduduk kampung dulu hanya bawa canggkul untuk 'melepas', dengan cara ini mereka tak didatangi bil indahwater.

Tuesday, August 16, 2011

SEALION M-110 30JEWELS! (OFFER RM250 nett)

Agak pelik apabila mata aku tiba-tiba merenung lama model nos (nostalgia) ini, suatu fenomena luar biasa yang jarang berlaku pada aku. Raut wajahnya bagai ada rahsia dihatinya. Aku dekatkan telinga, jelas denyutan jantungnya seirama dengan sebuah jam kunci meja yang kuat dan berketul-ketul degupannya. Bahkan bila crownnya diputar membuatkan aku bertambah pelik, bagaimana jam kunci boleh memiliki 30 jewels sebagaimana tertulis didailnya?

Aku bawa plang jam ini untuk diuji secara mental dan fizikal, jadi aku tukar tali kulat kerana malas nak potong2 braceletnya yang cantik itu.

Memang cantik jam ni, dial warna putih! Bukan silver/white steel.

Dibelakangnya bertenggek seekor singa laut dengan kod M-110, tak pernah aku jumpa sebelumnya.

Terkerjut aku apabila membuka caseback! Ada rotor? Mati-mati aku sangka enjin kunci

M-110 mungkin merujuk pada jentera enjinnya 30 jewels ni.

Apapun jami ini segak biarpun berusia.

Reserve masa memuaskan.

Jarum saat berwarna putih dengan hitam dihujungnya.

Cuma indek minit dan tulisan 30 jewels itu ada kesan touch-up yang tak beberapa kemas jika dilihat dekat2.

Tapi ikhlas aku ingin katakan, jam selesa dipakai dan bagi aku ia memiliki salah satu enjin yang unik dalam sejarah Seiko.

Sunday, August 14, 2011

Mercun lidi: Kenangan bersama Sitot dan Labu.

Korang pernah dengar mercun lidi? Sejenis mercun terlaris dimusim perayaan tahun 70/80an dulu. Bentuknya serupa satay cuma berbeza cara membakarnya. Mudah dilancarkan berbanding peluru pemandu Scud yang tak boleh dilancarkan dengan botol kicap. OK, kaedah melancarnya sila perhatikan rajah dibawah:

Bahan-bahannya: 1)Seikat mercun lidi, 2) Mancis secukup rasa dan 3) Sebotol kicap yang dah habis kicapnya. Kalau nak rasa pedas bolehlah pakai botol yang masih berisi kicap, memang pedas kena leter dengan emak.

Tapi masa kecik-kicik dulu aku ada kreativiti tersendiri melancarkan mercun lidi ni. Dan yang paling tak lupa ialah merampas secara paksa seekor cicak hasil tangkapan Sitot dan Labu, selepas maghrib kucing dua beranak ni memang kerap buat part-time buru cicak buat santapan cuci mulut selepas kenyang makan nasi gaul belacan yang biasa aku beri selepas berbuka puasa. 

Bila cicak itu semakin lemah dibuli mereka aku rampas sebelum mereka sempat menjamahnya, aku ikat cicak itu kat mercun lidi. Kemudian cucuh api pada sumbu mercun...pssstttttttt..dan...KABOMM!! diudara! Ish, bila teringatkan zaman itu aku rasakan...aku memang nakal. Sampaikan Sitot dan Labu terkedu dah tak tau nak cakap apa bila tengok perbuatan kejam aku tu.

Begitulah kenangan ramadan silam yang tak terpadam... Kepada Sitot dan Labu ngiau kamu berdua masih aku ingat hingga kini, maklumlah semasa mereka lahir akulah bidannya, dan kami membesar bersama-sama dan sampai ketika mereka lanjut usia, sakit dan meninggal aku jugalah yang mengkebuminya...syahdu mengenangkan kamu berdua.


Thursday, August 11, 2011

Oh Azizah...

Rupa mu nan jelita
Gaya kamu nan manja
Membuat aku kini tergoda

Siang jadi kenangan
Malam jadi impian
Kerana mu Azizah..

Putih kulit mu, putih kulit mu pandang tak jemu..

Manis senyum mu, manis senyum mu
Mulia hati mu...
Haha begitulah, hati yang mulia memancarkan seri wajahnya. Wajah itu bukanlah seraut muka yang selalu disolek-solek tu. Wajah disini bersifat 'ghaib' sebagaimana ghaibnya hati. Wajah solekan hati merangkumi seluruh anggota lidah, tangan dan kaki yang membentuk PERANGAI/AMAL kita. Maka wajah berseri-seri orang-orang beriman dilihat menerusi kaca ini. Hodoh perangai bererti hodoh wajahnya (hati didalamnya) biarpun muka diluarnya manis menawan ramai...wallhualam

Senikata hebat yang aku kutip dari lagu ciptaan Alahyarham P.Ramle yang memuja-muji keindahan ciptaan tuhan dan aku tuju lagu itu untuk Seiko 6139 ni...

Kuning keemasan warna yang melambangkan kemewahan...

...simbahan cahya memercikkan kilauan yang menyegarkan mata

Sayangnya, 'Azizah'ku ini tak seanggun dulu, lama tak berjalan memaut tangan..maklumlah dah berpuluh tahun berbakti.
Berjalan menepati masa tapi enjinnya perlu diservis untuk jalan terus menerus tanpa sangkut. Sesiapa yang mahu melamarnya dengan harga terbaik sila bagi tau aku?

Monday, August 8, 2011

SEIKO JENGLOT...

Dikenali sebagai Seiko DILOT, gabungan nama DIver + piLOT). Tapi aku berikan jolokan JENGLOT kerana paras rupanya yang menyeramkan. Jenglot ni antara spesis terbaik Seiko yang masuk kepasaran sini. Tapi sayang, kurang mendapat sambutan kerana faktor-faktor misteri. Dipalu enjin 4R15 jentera selam ini memiliki reka bentuk agak 'hodoh' (kata kebanyakan penternak yang ditemui)

Sebenarnya aku minat pada jam-jam yang berbentuk 'hodoh'. Kerana bagi aku yang hodoh biasanya menampilkan imej lasak. Contohnya, jika kita tonton drama atau filem, watak-watak jahat dan ganas biasanya disandang oleh mereka yang berwajah BENGIS sesuai dengan karekternya. (Untuk orang aku tukar kepada BENGIS, kerana HODOH perkataan yang kurang enak digunakan pada manusia).

Mungkin disitulah juga malangnya model berjentera canggih ini tidak dikerumuni kebanyakan pengemar Seiko. Ramai juga mereka yang aku temui memberikan komen negatif tentang bentuknya. Bahkan aku sendiri pada awalnya rasa begitu. Namun kita tak seharusnya bersangka buruk kerana paras rupa semata-mata. Bak pepatah berkata, yang pahit jangan terus dibuang dan yang manis jangan terus di baham. Elok kita selidik dulu apa maksud disebalik semua angkara ini...

Crown guard memang tak cun, nampak terasing dari casing. Tak seperti SKX007 dimana bahagian ini diunjur terus menjadi crown guard, seperti Turtle juga Samurai Titanium...

...tapi harus difaham, mungkin ia dibuat begitu untuk disesuaikan dengan bentuk gigi bezel yang kasar macam bunga tayar off-road yang lasak henyakan supaya pemakainya boleh terjun dari kapalterbang atau sampan tanpa rasa ragu-ragu lagi.

Berpadanan dengan jarum dan mark index yang besar! brutal!! Dah nama JENGLOT masakan nak dibayangi gambaran yang tak sepadannya? Kalau dah digelar polis FRU mana nak dibayangkan bentuk lain selain perisai, grill besi sekeliling, gagah, kasar dan meriam air, ye tak? Sini bunga-bungaan memang tak main..
Dari kepala sampai kaki mesti dibentuk seiring beban tugas dan perwatakannya. Jadi bengis/hodoh/ganas/kasar adalah gandingan yang sempurna.

Sangkutkan anting-anting besi ditelinganya, lagak ganas macam karekter Mr. T, pernah tonton drama tv Mr.T dulu? Samseng yang baik hati hehe.

Setelah dipadankan dengan canvas zulu 20mm aku tak lagi rasa segan untuk membawa jenglot keluar bersiar-siar.

Model berserta tali rubber berharga RM880, sementara yang bracelet berharga RM980 (harga selepas diskaun)

Diantara dua dah tentu jenglot kelihatan lebih ganas. Aku harap racun-racun berkhasiat ni dapat mengubah fikiran korang tentang jenglot ni. Jam secantik manapun kalau dipakai selalu akan menjemukan dan menumpulkan tumpuan. Tapi ada hari-harinya jam sebegini seronok dipakai serta memberikan banyak kelainan.